SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Kebangsaan Serom 8, Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Encik Karto bin Hassan, Ketua Kampung Serom 8, selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1 November 1946. 
Pada mulanya sekolah ini telah didirikan secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk kampung ini dan bahan-bahan kayu didapati dari hutan di sekitar kawasan ini di atas sebidang tanah milik Encik Mingun Bin Hassan yang terletak kira-kira sejauh 1 km dari tapak sekolah sekarang.
Pada 17 hb. Jun 1947, kebenaran dari pihak kerajaan telah didapati untuk membuka sekolah ini di atas sebidang tanah tetap milik En. Hasim Ismail dengan seorang tenaga pengajar iaitu Encik Abdul Bin Othman dan gajinya dibayar oleh penduduk kampung ini. Ramai muridnya ketika itu adalah seramai 51 orang sahaja.
 Pada 3 April 1948, Kerajaan telah mula memberikan perhatiannya kepada sekolah ini dengan memberi bantuan alat sekolah dan seorang guru kerajaan sebagai guru besar pertama sekolah ini, iaitu En. Abdul bin Othman.
Dengan tidak disangka-sangka, satu tragedi kebakaran telah berlaku pada 20 Jun 1951, yang mengakibatkan bangunan dan alatan sekolah musnah sama sekali. Buat sementara waktu, murid-murid masih meneruskan pelajarannya di surau kampung ini.

Pada 30 Jun 1951, sebidang tapak baru seluas 4E 1R 23P diperolehi. Kemudian, pada tahun 1952, pihak kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan yang mengandungi 6 bilik darjah dan menghantar 3 orang guru serta seorang guru besar. Sebuah bilik guru besar telah didirikan secara gotong-royong. Memandangkan kesesakan dan uzurnya bangunan ini, penduduk kampung ini telah mengajukan permohonan untuk mendapatkan bangunan yang lebih selesa lagi.
            Pada 1 September 1966, kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan baru yang mengandungi 6 bilik darjah dan sebuah bilik guru besar dengan keluasan 30 ' x 130' yang boleh menampung seramai kira-kira 260 orang murid sahaja. Bangunan lama pula telah dirobohkan. Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Encik Khir Bin Johari pada 31 Oktober 1968
Disebabkan pertambahan murid yang begitu ramai dari setahun ke setahun, manakala bangunan yang ada tidak dapat menampung murid-murid tersebut, maka dengan permintaan beberapa penduduk kampung di sekeliling Serom 8 itu, akhirnya kerajaan telah bersetuju mendirikan sebuah lagi bangunan tambahan pada 1 September 1976, yang mengandungi 3 bilik darjah, sebuah bilik rehat, pejabat dan sebuah kantin yang lengkap dengan perabut, api elektrik serta paip air. Oleh sebab kekurangan bekalan air, paip itu tidak dapat digunakan, sekolah terpaksa menggunakan air telaga.
Ramai murid-murid pada masa itu ialah 346 orang yang datang daripada tiga kampung yang berhampiran iaitu kampung Serom 8, Kampung Parit Pulai dan Kampung Sri Jaya. Manakala tenaga pengajar ialah seramai 15 orang dan 6 orang pekerja sekolah. Pada 2 Jun 1982, sebuah bangunan perpustakaan separuh kekal telah dibina hasil derma orang ramai sebagai kegunaan murid-murid sekolah ini. Selain daripada itu, kerajaan telah memberikan berbagai-bagai kemudahan sebagaimana bantuan-bantuan yang diberikan kepada sekolah-sekolah dalam kawasan bandar.
Selain daripada itu, sekolah ini juga telah mendapat beberapa kali bantuan daripada wakil-wakil rakyat Negeri dan Palrimen untuk mendirikan bangunan perpustakaan, membeli kipas angin batu merah, balai bergerak dan lain-lain.
Pada 31 Julai 1998, YAB Menteri Besar Johor telah mengeluarkan peruntukan bagi membina sebuah dewan terbuka sebagai bangunan tanbahan Pusat Sumber sekolah ini.
Dari segi pentadbiran pengajaran dan pembelajaran, kegiatan-kegiatan luar seperti sukan bola sepak, bola jaring,bola baling, sepak takraw, musabaqah al-Quran, pertandingan kuiz dan lain-lain. Sekolah ini tidak ketinggalan mengambil bahagian dan pernah beberapa kali menjadi johan. 
Kini Sekolah Serom 8 dipenuhi pelbagai kemudahan serba lengkap seperti bangunan 4 tingkat, kantin, makmal sains, bengkel kemahiran hidup, makmal sains, makmal komputer, pusat akses , kelas pemulihan , pra sekolah , pendidikan khas dan dewan terbuka. Semua kemudahan ini bermula dibangunkan pada 11 Jun 2003.
Beberapa orang bekas murid sekolah ini telah pun berjaya memasuki universiti tempatan dan luar negeri. Setengahnya pula telah menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan